pengertian akhlak (part 3)
KEPENTINGAN DAN KESEMPURNAAN AKHLAK
Akhlak adalah perkara yang sangat penting dalam Islam. Betapa
pentingnya akhlak tersebut dalam kehidupan manusia, sehingga Rasulullah s.a.w
di utuskandi muka bumi ini adalah untuk menyempurnakan akhlak yang mulia. Sabda
Rasulullah s.a.w :
“ Sesungguhnya aku diutus untuk untuk menyempurnakan akhlak yang
mulia”.
Kemuliaan akhlak adalah tanda keimanan seseorang kerana ia adalah
buah dari keimanannya. Adalah tidak dikira beriman seseorang yang tidak
berakhlak. Sabdanya yang bermaksud :
“Bukanlah iman itu hanya dengan cita-cita tetapi iman itu ialah
keyakinan yang tertanan di dalam hati dan dibuktikan dengan amalan”. (Riwayat Al-Dailami)
Hadith di atas telah membuktikan bahawa akhlak sangat penting dalam
kehidupan manusia. Jika diteliti, semua ibadat yang difardhukan dalam Islam
seperti puasa, solat, zakat dan haji adalah bermatlamatkan kesempurnaan akhlak
yang mulia terhadap Allah s.w.t mahupun sesama manusia dan makhluk lain. Firman
Allah s.w.t :
3
Maksud: “..Sesungguhnya solat itu mencegah dan perbuatan-perbuatan
keji dan mungkar”.
[Al-Ankabut,29:45]
Sebagaimana telah dinyatakan diatas bahawa Allah s.w.t telah
mengutus Nabi Muhammad s.a.w untuk menyempurnakan akhlak yang mulia. Akhlak
yang ditunjukkan oleh baginda sangat dikagumi oleh masyarakat Arab ketika itu,
bahkan baginda popular dengan gelaran Al-Amin (orang yang jujur). Akhlak mulia
yang dimiliki oleh Rasulullah s.a.w tidak dapat dinafikan oleh sesiapa pun
kerana Allah s.w.t telah mengungkapkan perkara ini melalui Firman-Nya:
Maksud: “ Dan sesungguhnya kamu (Muhammad) benar-benar memiliki
akhlak yang agung”.
[Al-Qalam,68:4]
Akhlak merupakan garis pemisah antara yang berakhlak dengan orang
yang tidak berakhlak. Akhlak juga merupakan roh Islam yang mana agama tanpa
akhlak samalah seperti jasad yang tidak bernyawa. Oleh itu salah satu misi yang
dibawa oleh Rasulullah saw ialah membina kembali akhlak manusia yang telah
runtuh sejak zaman para nabi yang terdahulu ekoran penyembahan berhala oleh
pengikutnya yang telah menyeleweng.
Hal ini juga berlaku pada zaman jahiliyyah yang mana akhlak manusia
telah runtuh berpunca daripada mewarisi perangai umat yang terdahulu dengan
tradisi meminum arak, membuang anak, membunuh, melakukan kezaliman sesuka hati,
menindas, suka memulau kaum yang rendah martabatnya dan sebagainya. Dengan itu
mereka sebenarnya tidak berakhlak dan tidak ada bezanya dengan manusia yang
tidak beragama.
Selain itu, akhlak juga merupakan ciri-ciri kelebihan di antara
manusia kerana ianya lambang kesempurnaan iman, ketinggian taqwa dan kealiman
seseorang manusia yang berakal. Dalam hal ini Rasulullah saw bersabda yang
bermaksud :
"Orang yang sempurna imannya ialah mereka yang paling baik
akhlaknya."
Kekalnya sesuatu ummah juga kerana kukuhnya akhlak dan begitulah
juga runtuhnya sesuatu ummah itu kerana lemahnya akhlaknya. Hakikat kenyataan
di atas dijelaskan dalam kisah-kisah sejarah dan tamadun manusia melalui
al-Quran seperti kisah kaum Lut, Samud, kaum nabi Ibrahim, Bani Israel dan
lain-lain. Ummah yang berakhlak tinggi dan sentiasa berada di bawah keredhaan
dan perlindungan Allah ialah ummah yang seperti di Madinah pada zaman
Rasulullah saw.
Ketiadaan akhlak yang baik pada diri individu atau masyarakat akan
menyebabkan berlaku pelbagai krisis dalaman dan luaran seperti krisis nilai
diri, keruntuhan rumahtangga, masyarakat belia yang mundur dan boleh membawa
kepada kehancuran sesebuah negara. Presiden Perancis ketika memerintah Perancis
dulu pernah berkata : "Kekalahan Perancis di tangan tentera Jerman
disebabkan tenteranya runtuh moral dan akhlak."
Pencerminan diri seseorang sering digambarkan melalui tingkah laku
atau akhlak yang ditunjukkan. Malahan akhlak merupakan perhiasan diri bagi
seseorang sebagaimana aqidah merupakan tunjang agama, syariat merupakan cabang
dan rantingnya manakala akhlak adalah yang mewarnai seperti bunga-bungaan yang
menyerikan hiasan pokok tersebut.
Akhlak tidak dapat dibeli atau dinilai dengan wang ringgit Ia wujud
di dalam diri seseorang hasil daripada didikan kedua ibu bapa atau penjaga
serta pengaruh dari masyarakat sekeliling mereka. Jika sejak kecil kita
didedahkan dengan akhlak yang mulia, maka secara tidak langsung ia akan
mempengaruhi tingkah laku dalam kehidupan sehari-hari hinggalah seterusnya.
Proses pembentukan sesebuah masyarakat adalah sama seperti membina
sebuah bangunan. Kalau dalam pembinaan bangunan, asasnya disiapkan terlebih
dahulu, begitu juga dengan membentuk masyarakat mesti dimulakan dengan
pembinaan asasnya terlebih dahulu. Jika kukuh asas yang dibina maka tegaklah
masyarakat itu. Jika lemah maka robohlah apa-apa sahaja yang dibina di atasnya.
Oleh itu, Akhlak amat penting kerana merupakan asas yang dilakukan
oleh Rasulullah saw ketika memulakan pembentukan masyarakat Islam. Sheikh
Mohamad Abu Zahrah dalam kitabnya Tanzim
al-Islam Li al-Mujtama' menyatakan bahawa budi pekerti atau moral yang mulia
adalah satu-satunya asas yang paling kuat untuk melahirkan manusia yang berhati
bersih, ikhlas dalam hidup, amanah dalam tugas, cinta kepada kebaikan dan benci
kepada kejahatan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan