Keramat Hati: pengertian akhlak (sambungan part 1)

pengertian akhlak (sambungan part 1)


Selain itu, untuk membiasakan diri dengan sifat dan nilai yang baik serta membuang sifat yang tercela, individu Muslim hendaklah sentiasa mendekatkan diri kepada Allah s.w.t. dan menurut serta patuh kepada perintah-Nya. Justeru setiap Muslim mesti berusaha untuk memiliki dan mengamalkan akhlak dan sifat terpuji dalam kehidupan seharian.
            Daripada perbincangan di atas, jelas menunjukkan bahawa Islam mementingkan factor kebiasaan dalam pembentukan dan pembinaan peribadi manusia. Contohnya, hadis Nabi s.a.w. yang bermaksud: “Suruhlah anakmu mendirikan solat ketika umurnya tujuh tahun, dan pukullah mereka ketika berumur sepuluh tahun sekiranya enggan melakukannya” jelas menegaskan perkara ini. Sebagai ibu bapa atau pendidik, kita hendaklah menyuruh anak-anak menunaikan solat agar amalan solat itu menjadi kebiasaan kepada anak-anak. Apabila ia menjadi satu kebiasaan, maka anak-anak tidak akan berasa keberatan atau bebanan dalam melaksanakan ibadah solat. Ibarat kata pepatah, “alah bisa tegal biasa”.
            Hal ini menunjukkan bahawa Islam mementingkan faktor kebiasaan dalam pembentukan dan pembinaan peribadi manusia. Ahli falsafah Greek, Aristotle turut menyatakan bahawa perilaku yang diulan-ulang akan membentuk kecenderungan yang positif, yang akhirnya akan melahirkan tabiat atau virtues, dan itulah sebenarnya akhlak. Malah, kepentingan faktor kebiasaan dalam tindakan dan perbuatan manusia diakui oleh para ahli psikologi dan moral menerusi teori-teori pembelajaran tingkah laku yang diketengahkan. Perkara ini juga boleh dilihat dalam kalangan orang tua yang bersifat tradisional. Mereka kelihatan sukar untuk menerima nilai dan mengamalkan tabiat baharu disebabkan telah biasa dan sebati dengan apa yang dipegang dan diamalkan sebelum ini. Sebaliknya, anak-anak kecil sangat cepat dan mudah dibiasakan dengan fikiran atau idea baru. Perbezaan ini disebabkan faktor kebiasaan kerana orang tua sudah biasa hidup dengan tradisi atau nilai-nilai lama (Humaidi Tatapangarsa, 1979).
            Akhlah juga didefinisikan sebagai maruah. Hal ini kerana apabila seseorang Muslim memelihara dan mengamalkan akhlak Islam, maka sekaligus dia telah memelihara maruah diri dan agamanya. Maruah yang dipamerkan merupakan maruah yang mulia dan tinggi nilainya dan memberi kebaikan kepada diri individu itu sendiri dan juga orang lain.
            Tegasnya, kedudukan akhlak dalam Islam amat jelas. Terdapat banyak ayat al-Quran dan hadis Rasulullah s.a.w. yang menunjukkan bahawa peranan akhlak dalam Islam tidak boleh dipisahkan daripada kandungan agama itu sendiri. Dengan kata lain, agama Islam amat berkait rapat dan menekankan soal akhlak. Oleh itu, istilah akhlak juga diberi maksud agama kerana itu merupakan sebahagian daripada agama Islam itu sendiri. Seringkali soal kesempunaan iman atau akidah seseorang dikaitkan dengan amalan nilai akhlak. Lanjutan daripada definisi ini juga memperlihatkan perkaitan yang sebati antara agama dan akhlak kerana akhlak dalam Islam ialah nilai keagamaan dan nilai kudus yang perlu dipelihara.
            Berdasarkan kepada pengertian-pengertian ini, jelas bahawa akhlak merupakan sifat semulajadi, tabiat serta maruah, agama  yang mempamerkan gambaran atau rupa batin seseorang. Menurut Miqdad Yalchin (1998), akhlak boleh dismpulkan maksudnya yang mengandungi aspek-aspek berikut:
1.         Sifat semulajadi yang dimiliki oleh seseorang.
2.         Sifat yang dimiliki oleh seseorang melalui latihan, rangsangan atau sebagainya yang akhirnya menjadi adat atau tabiat.
3.         Akhlak meliputi dua dimensi iaitu batin atau kejiwaan dan zahir dalam bentuk perlakuan.
Imam al-Ghazali juga mentakrifkan akhlak sebagai: Suatu gambaran daripada keadaan dalam diri yang telah sebati, daripadanya  melahirkan tingkah laku yang mudah dicerna tanpa memerlukan pengulangan.
Sifat dan gambaran  batin yang indah serta kelakuan yang mulia inilah yang perlu dilahirkan di mana ia bukanlah sesuatu yang bersifat subjektif  malah dalam Islam ia berdasarkan dan ditentukan secara mutlak oleh Penciptanya iaitu Allah s.w.t. Misalnya, manusia dikehendaki menyayangi ibu bapanya, saudaranya malah haiwan sekalipun, merasa belas kasihan kepada orang fakir miskin, menjauhi sifat sombong, riak, iri hati dan sebagainya. Menurut Miqdad Yalchin lagi, akhlak merupakan prinsip-prinsip dan dasar atau kaedah yang ditentukan oleh wahyu untuk mengatur perlakuan, mambatasi (membentuk) hubungannya dengan orang lain sehingga mencapai matlamat kewujudannya di dunia ini secara yang paling sempurna.
Masyarakat di mana-mana sahaja di dunia ini dan bila-bila masa juga sentiasa menerima dan menyanjung tinggi akhlak yang baik dan sebaliknya menolak dan membenci akhlak yang buruk dan keji. Mustafa Hj. Daud (1988) menjelaskan bahawa menurut al-Imam al-Maududi:
Nilai akhlak yang baik dan akhlak yang keji adalah berbentuk sejagat, iaitu semua masyarakat di dunia ini pada keseluruhannya mempunyai pandangan yang sama terhadap akhlak yang baik dan sama-sama mengeji akhlak yang keji. Justeru, al-Quran menggunakan istilah al-Ma’ruf (sesuatu yang telah diketahui manusia tentang baiknya sesuatu perbuatan) untuk akhlak yang baik dan al-Munkar (sesuatu yang telah diketahui tantang keburukannya) untuk akhlak yang buruk.
Dalam Islam, untuk mengenal pasti antara baik dengan buruknya sesuatu perbuatan atau perlakuan itu adalah jelas. Sebarang tingkah laku manusia yang bertujuan untuk mendapatkan keredhaan Allah s.w.t., maka dikatakan baik dan mulia.  Sebaliknya segala tindakan yang menyebabkan kemurkaan-Nya ia dikatakan jahat dan keji. Hal ini kerana matlamat hidup manusia sebenarnya adalah untuk mencari keredhaan Allah s.w.t. segala apa yang dilakukan oleh umat Islam semata-mata kerana Allah s.w.t. dan ikhlas melakukannya.
Demikian juga menurut Abdullah al-Amin an-Na’miy (1994), Ibnu Khaldun menegaskan bahawa agama bermatlamatkan ke arah pembinaan akhlak yang baik, sama ada melalui perintah ataupun tegahan. Oleh itu, manusia perlu mempelajari dan mengenalpasti antara akhlak yang bersifat baik dan yang buruk. Malah bagi umat Islam, mempelajari ilmu akhlak  dan mengenali jenis akhlak yang baik dan yang buruk itu merupakan sesuatu tuntutan dalam Islam.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Copyright © Keramat Hati Urang-kurai