Keramat Hati: pengertian akhlak (part 1)

pengertian akhlak (part 1)


PENDAHULUAN

Akhlak merupakan sesuatu yang penting dalam membentuk ummah yang gemilang. Selain itu juga, akhlak ini terbahagi kepada dua bentuk iaitu akhlak yang baik dan akhlak yang buruk. Akhlak yang baik merupakan sesuatu yang lahir dari hati tanpa dipaksa oleh sesuatu pun, manakala akhlak yang buruk pula merupakan sesuatu yang boleh menyebabkan seseorang itu terjerumus ke dalam kancah yang boleh merosakkan akidah.
Walaupun manusia boleh dipisahkan daripada bidang ilmu atau pemikiran, bahkan juga boleh dipisahkan daripada agama dan kepercayaan, tetapi tidak boleh dipisahkan dengan akhlak atau moral. Ini kerana setiap perbuatan, amalan atau tindakan yang diambil tidak terlepas atau terkeluar daripada lingkungan hukuman sama ada terhadap dirinya atau orang lain ataupun benda lain iaitu adakah baik atau tidak segala tindakan tersebut. Jika baik jawapannya perkara itu akan dilakukan tetapi jika jahat perkara itu akan ditinggalkan. Itulah akhlak yang baik. Tetapi jika sebaliknya yang dilakukan itulah akhlak yang buruk.
Dari sini ternyata kedudukan akhlak dalam kehidupan manusia sehingga di kalangan orang yang tidak bermoral mereka merasakan perlu adanya suatu akhlak yang diakui bersama oleh mereka supaya dapat mengatur kehidupan yang lebih baik menurut pandangan mereka.
Islam merangkumi aqidah, dan syariat itu mengandungi roh akhlak. Akhlak adalah roh kepada risalah Islam sementara syariat adalah lembaga jelmaan daripada roh tersebut. Ini bererti Islam tanpa akhlak seperti rangka yang tidak mempunyai isi, atau jasad yang tidak bernyawa. Sabda Rasulullah saw yang bermaksud : "Islam itu akhlak yang baik". Begitu juga sabda Baginda yang bermaksud : "Tidak ada sesuatu yang lebih berat timbangannya selain daripada akhlak yang mulia."

DEFINISI DAN KONSEP AKHLAK

Istilah “Akhlak” berasal dari bahasa Arab yang diambil daripada perkataan “Khuluq” yang boleh didefinisikan sebagai perangai atau tingkah laku, tabiat, kepercayaan, pegangan atau agama.
Berdasarkan pengertian ini, akhlak merupakan perangai, tabiat, maruah dan agama yang mempamerkan gambaran atau rupa batin seseorang (Asmawati Suhid dalam Abdul Rahman Md. Aroff, 2004)
Akhlak diberi pengertian sebagai perangai atau tabiat kerana ia dimiliki oleh individu sejak lahir lagi. Ini jelas daripada definisi yang diberi oleh al-Ghazali (Ghazali, Darussalam, 1997) bahawa akhlak ialah satu gambaran daripada keadaaan dalam diri yang telah sebati, yang daripadanya lahir tingkah laku yang mudah dicerna tanpa memerlukan pengulangan.
Hal ini dijelaskan lagi oleh definisi yang diberi oleh Imam al-Maududi yang memperlihatkan bahawa akhlak itu talah dimiliki oleh seseorang sejak dia dilahirkan sebagaimana dilaporkan seperti berikut:
Akhlak merupakan tingkah laku manusia yang ada sejak kelahiran seseorang. Setelah sekian lama, pembawaan itu menjadi norma yang dapat diterima oleh masyarakat, iaitu ada yang diakui oleh masyarakat sebagai akhlak yang baik dan ada pula yang keji. Dengan kata lain, akhlak menurut al-Maududi sebagai sebarang tingkah laku yang baik yang telah menjadi adat kebiasaan sesuatu masyarakat. Apabila ia dilakukan tidak lagi perlu berfikir panjang untuk menerima atau menolaknya.
                                                                                                            [Mustafa Hj. Daud, 1988: 86]
Walau bagaimanapun, pengertian bahawa akhlak itu merupakan perkara yang telah sebati dalam diri manusia ini perlu difahami secara lebih teliti dan dihuraikan dengan lebih terperinci kerana ia boleh menghasilkan tanggapan yang tidak tepat bahawa tidak perlu diadakan pendidikan akhlak dalam kalangan kanak-kanak memandangkan akhlak  merupakan sifat yang telah sebati dalam diri seseorang individu. Hal ini kerana menurut Islam, anak-anak dilahirkan bersifat fitrah, yakni tabiat semulajadi manusia itu suci dan bersih daripada dosa dan noda.
Sebagaimana firman Allah s.w.t.:

Maksud: “(Setelah jelas kesesatan syirik itu) maka hadapkanlah dirimu (engkau dan pengikut-pengikutmu, Wahai Muhammad) ke arah agama yang jauh dari kesesatan; (turutlah terus) agama Allah, iaitu agama yang Allah menciptakan manusia (dengan keadaan bersedia dari semulajadinya) untuk menerimanya; tidaklah patut ada sebarang perubahan pada ciptaan Allah itu; itulah agama yang betul lurus, tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui.”
                                                                                                                             [Ar-Ruum, 30: 30]
Berkaitan hal ini, Imam al-Ghazali sendiri telah banyak memperkata dan mengetengahkan pandangan serta idea tentang kaedah-kaedah yang boleh digunakan untuk membentuk, mengembangkan dan mendidik moral atau akhlak manusia. Contohnya, kaedah berbentuk teori dan praktikal, kaedah pembentukan, penghalangan dan penyembuhan. Oleh itu, boleh dibuat rumusan bahawa sememangnya akhlak manusia telah dimiliki sejak dia dilahirkan sama ada berbentuk positif atau negative, namun ia boleh diubah dan dibentuk menerusi pendidikan, rangsangan dan latihan.
Hal ini dijelaskan oleh Yalchin ketika menyimpulkan maksud akhlak dan menurutnya (seperti dilaporkan oleh Asmawati Suhid dalam Abdul Rahman Md. Aroff, 2004), akhlak mengandungi sifat yang dimiliki oleh individu sejak kelahirannya; sifat ini boleh dimiliki menerusi latihan, rangsangan atau sebagainya yang akhirnya menjadi adat atau tabiat; dan akhlak juga meliputi dua dimensi, iaitu batin atau kejiwaan dan zahir dalam bentuk perlakuan.
Akhlak juga didefinisikan sebagai tabiat. Tabiat atau kebiasaan dijelaskan sebagai perlakuan atau tingkah laku yang diamalkan secara berulang-ulang, dengan ikhlas dari dalam jiwa. Perbuatan yang diulang-ulang itu akhirnya menjadi suatu kebiasaan dalam kehidupan seharian individu. Omar asy-Syaibani (1991) dalam hal ini menegaskan maksud tabiat dengan huraian bahawa akhlak bukan sekadar kata-kata yang diulang dan slogan yang dipamerkan tetapi adalah watak, kebiasaan atau sikap yang mendalam dalam jiwa. Untuk memperoleh akhlak yang dikehendaki, individu Muslim hendaklah mengamalkan secara berulang-ulang sehingga ia menjadi kebiasaan dalam kehidupannya. Misalnya, memberi salam, bercakap benar, menepati waktu, menepati janji, mencari rezeki secara halal, mengelakkan suka bercakap bohong, membantu orang yang memerlukan, mengucapkan syukur dan bertolak ansur merupakan akhlak yang bersifat kebiasaan. Dengan membiasakan amalan baik dan mulia ini juga dapat menghapuskan akhlak yang keji dan digantikan dengan akhlak yang mulia.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Copyright © Keramat Hati Urang-kurai