Keramat Hati: pengertian akhlak (part 3)

pengertian akhlak (part 3)


KEPENTINGAN DAN KESEMPURNAAN AKHLAK

Akhlak adalah perkara yang sangat penting dalam Islam. Betapa pentingnya akhlak tersebut dalam kehidupan manusia, sehingga Rasulullah s.a.w di utuskandi muka bumi ini adalah untuk menyempurnakan akhlak yang mulia. Sabda Rasulullah s.a.w :
“ Sesungguhnya aku diutus untuk untuk menyempurnakan akhlak yang mulia”.
Kemuliaan akhlak adalah tanda keimanan seseorang kerana ia adalah buah dari keimanannya. Adalah tidak dikira beriman seseorang yang tidak berakhlak. Sabdanya yang bermaksud :
“Bukanlah iman itu hanya dengan cita-cita tetapi iman itu ialah keyakinan yang tertanan di dalam hati dan dibuktikan dengan amalan”. (Riwayat Al-Dailami)
Hadith di atas telah membuktikan bahawa akhlak sangat penting dalam kehidupan manusia. Jika diteliti, semua ibadat yang difardhukan dalam Islam seperti puasa, solat, zakat dan haji adalah bermatlamatkan kesempurnaan akhlak yang mulia terhadap Allah s.w.t mahupun sesama manusia dan makhluk lain. Firman Allah s.w.t :
ž 3
Maksud: “..Sesungguhnya solat itu mencegah dan perbuatan-perbuatan keji dan mungkar”.
                                                                                             [Al-Ankabut,29:45]
Sebagaimana telah dinyatakan diatas bahawa Allah s.w.t telah mengutus Nabi Muhammad s.a.w untuk menyempurnakan akhlak yang mulia. Akhlak yang ditunjukkan oleh baginda sangat dikagumi oleh masyarakat Arab ketika itu, bahkan baginda popular dengan gelaran Al-Amin (orang yang jujur). Akhlak mulia yang dimiliki oleh Rasulullah s.a.w tidak dapat dinafikan oleh sesiapa pun kerana Allah s.w.t telah mengungkapkan perkara ini melalui Firman-Nya:

Maksud: “ Dan sesungguhnya kamu (Muhammad) benar-benar memiliki akhlak yang agung”.
                 [Al-Qalam,68:4]
Akhlak merupakan garis pemisah antara yang berakhlak dengan orang yang tidak berakhlak. Akhlak juga merupakan roh Islam yang mana agama tanpa akhlak samalah seperti jasad yang tidak bernyawa. Oleh itu salah satu misi yang dibawa oleh Rasulullah saw ialah membina kembali akhlak manusia yang telah runtuh sejak zaman para nabi yang terdahulu ekoran penyembahan berhala oleh pengikutnya yang telah menyeleweng.
Hal ini juga berlaku pada zaman jahiliyyah yang mana akhlak manusia telah runtuh berpunca daripada mewarisi perangai umat yang terdahulu dengan tradisi meminum arak, membuang anak, membunuh, melakukan kezaliman sesuka hati, menindas, suka memulau kaum yang rendah martabatnya dan sebagainya. Dengan itu mereka sebenarnya tidak berakhlak dan tidak ada bezanya dengan manusia yang tidak beragama.
          Akhlak juga merupakan nilai yang menjamin keselamatan daripada api neraka. Islam menganggap mereka yang tidak berakhlak tempatnya dia dalam neraka. Umpamanya seseorang itu melakukan maksiat, menderhaka kepada ibu bapa, melakukan kezaliman dan sebagainya, sudah pasti Allah akan menolak mereka daripada menjadi ahli syurga.
Selain itu, akhlak juga merupakan ciri-ciri kelebihan di antara manusia kerana ianya lambang kesempurnaan iman, ketinggian taqwa dan kealiman seseorang manusia yang berakal. Dalam hal ini Rasulullah saw bersabda yang bermaksud :
"Orang yang sempurna imannya ialah mereka yang paling baik akhlaknya."
Kekalnya sesuatu ummah juga kerana kukuhnya akhlak dan begitulah juga runtuhnya sesuatu ummah itu kerana lemahnya akhlaknya. Hakikat kenyataan di atas dijelaskan dalam kisah-kisah sejarah dan tamadun manusia melalui al-Quran seperti kisah kaum Lut, Samud, kaum nabi Ibrahim, Bani Israel dan lain-lain. Ummah yang berakhlak tinggi dan sentiasa berada di bawah keredhaan dan perlindungan Allah ialah ummah yang seperti di Madinah pada zaman Rasulullah saw.
Ketiadaan akhlak yang baik pada diri individu atau masyarakat akan menyebabkan berlaku pelbagai krisis dalaman dan luaran seperti krisis nilai diri, keruntuhan rumahtangga, masyarakat belia yang mundur dan boleh membawa kepada kehancuran sesebuah negara. Presiden Perancis ketika memerintah Perancis dulu pernah berkata : "Kekalahan Perancis di tangan tentera Jerman disebabkan tenteranya runtuh moral dan akhlak."
Pencerminan diri seseorang sering digambarkan melalui tingkah laku atau akhlak yang ditunjukkan. Malahan akhlak merupakan perhiasan diri bagi seseorang sebagaimana aqidah merupakan tunjang agama, syariat merupakan cabang dan rantingnya manakala akhlak adalah yang mewarnai seperti bunga-bungaan yang menyerikan hiasan pokok tersebut.
Akhlak tidak dapat dibeli atau dinilai dengan wang ringgit Ia wujud di dalam diri seseorang hasil daripada didikan kedua ibu bapa atau penjaga serta pengaruh dari masyarakat sekeliling mereka. Jika sejak kecil kita didedahkan dengan akhlak yang mulia, maka secara tidak langsung ia akan mempengaruhi tingkah laku dalam kehidupan sehari-hari hinggalah seterusnya.
Proses pembentukan sesebuah masyarakat adalah sama seperti membina sebuah bangunan. Kalau dalam pembinaan bangunan, asasnya disiapkan terlebih dahulu, begitu juga dengan membentuk masyarakat mesti dimulakan dengan pembinaan asasnya terlebih dahulu. Jika kukuh asas yang dibina maka tegaklah masyarakat itu. Jika lemah maka robohlah apa-apa sahaja yang dibina di atasnya.
Oleh itu, Akhlak amat penting kerana merupakan asas yang dilakukan oleh Rasulullah saw ketika memulakan pembentukan masyarakat Islam. Sheikh Mohamad Abu  Zahrah dalam kitabnya Tanzim al-Islam Li al-Mujtama' menyatakan bahawa budi pekerti atau moral yang mulia adalah satu-satunya asas yang paling kuat untuk melahirkan manusia yang berhati bersih, ikhlas dalam hidup, amanah dalam tugas, cinta kepada kebaikan dan benci kepada kejahatan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Copyright © Keramat Hati Urang-kurai