Semerbak Iman Masyitah
Bercakap fasal iman, saban tahun kita mendengar peristiwa
'israk dan mikraj' khususnya tentang kehebatan iman Masyita, tukang sisir
rambut anak Firaun.
Firaun menjadi sombong dan angkuh kerana kebesaran empayarnya
dan kehebatan pengaruhnya di kalangan rakyat Mesir. Dia mengaku sebagai tuhan
yang agung dan memusuhi sesiapa saja yang bertuhankan selain dirinya.
Malahan dia akan membunuh mereka yang tidak mengaku Firaun sebagai tuhan.
Masyita walaupun bekerja di istana Firaun, namun di dalam
hati kecilnya tetap bertuhankan Allah yang Maha Berkuasa dan Dialah juga
yang menjadikan segala makhluk di muka bumi ini termasuk Firaun yang mengaku
dirinya sebagai Tuhan. Kepercayaan ini dirahsiakannya supaya tidak
diketahui oleh Firaun dan sekutunya.
Pada suatu hari, sedang dia menyisir rambut anak Firaun, sikat
di tangannya terjatuh. Masyita terlatah dan berkata "Mampus Firaun! "
Apabila anak Firaun mendengar kata-kata penghinaan terhadap bapanya, dia
berkata, "Kenapa kau berkata begitu terhadap bapaku? Adakah tuhan lain selain bapaku?"
"Memang benar! Tuhanku dan tuhan bapamu ialah
Allah." Mendengar kata-kata itu, anak Firaun
menjadi marah. "Baik kamu bertaubat, kalau tidak aku akan beritahu
bapaku." Masyita bertegas dan mengatakan, "Pergilah kau beritahu bapa
kau. Aku tetap dengan pendirianku bahawa tuhan yang sebenarnya ialah
Allah."
Sebaik saja Firaun diberitahu oleh anaknya tentang
Masyita, dia menjadi murka dan memanggil Masyita. Dia bertanya sama ada benar
apa yang dikatakan oleh anaknya itu. Masyita tetap mengatakan Tuhannya ialah
Allah. Firaun mengugut untuk membunuh Masyita dan keluarganya sekiranya dia
tidak mengubah pendiriannya.
Keesokannya keluarga Masyita dibawa ke satu tempat
lapang, berhadapan dengan sebuah kawah besar yang berisi dengan minyak yang
sangat panas. Firaun hendak memasukkan kesemua keluarga Masyita termasuk
anaknya yang masih kecil ke dalam minyak panas sekiranya Masyita tidak mengaku
Firaun sebagai tuhan. Keimanan Masyita tidak luntur meskipun berhadapan dengan
ancaman maut.
Melihatkan iman Masyita yang tidak berganjak, Firaun
menyuruh askarnya mencampakkan keluarga Masyita seorang demi seorang ke dalam
kawah yang besar itu. Apabila sampai giliran anaknya yang kecil, perasaan
Masyita menjadi belas dan sebak. Hati siapa tidak sedih melihatkan anak yang
disayangi akan dilontar ke dalam kawah yang membuak-buak dengan minyak panas. Masyita meminta supaya dia dicampakkan dulu sebagai ganti
kepada anaknya. Tiba-tiba dengan kuasa Tuhan, anaknya yang kecil itu membuka
mulut dan berkata, "Ibu, jangan bersedih. Teruskan! Biarkan saya dicampak
ke dalam kawah itu." Masyita dan orang-orang di sekeliling terperanjat
melihat seorang bayi boleh berkata-kata.
Mendengar kata-kata anaknya itu, Masyita menjadi semakin
yakin dan tabah. Dia menghulurkan anaknya untuk dicampakkan ke dalam kawah. Tanpa belas kesihan askar Firaun terus melontarkan anak
Masyita ke dalam minyak panas. Selepas itu barulah Masyita dibawa ke tepi kawah
yang panas itu lalu dicampakkan ke dalamnya.
Demikianlah hebatnya Masyita mempertahankan kebenaran
aqidah sehingga dia dan keluarganya terkorban dibunuh oleh Firaun. Keberanian
seorang wanita memperjuangkan kebenaran dan keimanan ini dirakam dan diingati
setiap tahun oleh seluruh manusia. Dalam peristiwa Israk Mikraj, Nabi sampai di
satu tempat yang sangat harum. Malaikat Jibril menerangkan bahawa tempat itu
ialah tempat bersemadinya Masyita dan keluarganya.
Awas! Mana-mana pemimpin yang bongkak dan mengaku
kehebatannya sebagai pemimpin, takbur, sombong dan berlagak sebagai superman
yang kuku besi, nyatalah ciri-ciri Firaun yang terkutuk itu sudah diwarisinya. Nauzubillah!
MORAL & IKTIBAR
- Orang yang
mengorbankan jiwa dan raganya demi menegakkan kebenaran diberikan
kedudukan yang tinggi di sisi Allah.
- Bukan lelaki
saja yang mempunyai semangat yang kental dan tinggi dalam memperjuangkan
kebenaran. Golongan wanita yang dianggap kaum yang lemah juga mempunyai
keberanian dengan izin Allah
- Allah
menetapkan hati hamba yang mencari keredhaanNya sehingga seorang bayi
mampu bercakap dalam usia yang paling muda. Anak Masyita adalah salah
seorang bayi yang boleh bercakap semasa kecil lagi. Contoh lain ialah anak Siti Mariam yang menafikan ibunya melahirkan
anak haram.
- Orang yang Allah tidak kehendaki keimanannya dibiarkan mereka hidup
dalam kezaliman sehingga menyangka keburukan sebagai kebaikan dan kebaikan
pula dipandang sebagai kejahatan.
- Manusia jangan menyangka mereka mudah saja dibalas dengan syurga
selagi tidak diduga dengan pelbagai musibah dan kesusahan.
- Dunia adalah tempat bersusah-payah, manakala akhirat ialah tempat
kesenangan abadi.
- Prinsip dan pegangan hidup orang tua-tua, "Bersusah-susah dahulu,
bersenang-senang kemudian" seharusnya dijadikan pedoman hidup bagi
kita.
- Manusia yang senang kehidupannya tanpa diduga oleh Allah belum lagi
diiktiraf keselamatannya di akhirat
- Kesenangan di dunia belum boleh dijadikan bukti sebagai tanda Allah
menyayangi mereka. Begitu juga kesusahan di dunia bukan menjadi
bukti bahawa Allah membenci mereka.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan