Hassan Al-Banna part 1
Latarbelakang Keluarga Imam Hasan Al-Banna.
Datuk Imam Hasan
Al-Banna bernama Syeikh Abdur-Rahman Al-Banna. Beliau tinggal di sebuah kampung
bernama Syamsyirah. Dua orang anak lelakinya bernama Ahmad dan Muhammad. Ahmad
Al-Banna menuntut di Universiti Al-Azhar dan Muhammad Al-Banna pula terlibat
dalam bidang pertanian. Selepas beberapa tahun, Syeikh Abdur-Rahman pun
meninggal dunia. Satu perselisihan faham telah berlaku antara kedua orang
anaknya itu mengenai pembahagian harta pusaka. Muhammad ingin memiliki bahagian
tanah pusaka yang lebih luas kerana dia telah bersusah payah menjaga tanah
pertanian bapa mereka. Perselisihan ini boleh membawa kepada pertengkaran
tetapi Ahmad Al-Banna menyelesaikannya dengan menyerahkan kesemua bahagiannya
kepada Muhammad dan terus berpindah ke Mahmoodiah untuk menetap di sana. Ahmad
bin Abdur-Rahman Al-Banna adalah bapa Imam Hasan Al-Banna, Di Mahmoodiah, Ahmad
Al-Banna memulakan kerjanya sebagai tukang membaiki jam. Beliau berkelulusan
dari Universiti Al-Azhar. Separuh hari dihabiskannya untuk mencari rezeki dan
masanya yang lain digunakan untuk mengkaji dan belajar Al-Quran dan As-Sunnah.
Di samping itu, Ahmad Al-Banna juga mempunyai sebuah perpustakaan yang
mengandungi berbagai buku berharga mengenai Islam dan Sunnah.
Apabila penduduk
kampung tersebut membina sebuah masjid mereka sendiri, mereka telah menjemput
Ahmad Al-Banna menjadi imam solat Jumaat yang pertama di situ. Kepetahannya
bercakap dan khutbahnya yang ilmiah itu telah menarik hati orang ramai. Beliau
pun dilantik menjadi Imam dan Khatib tetap masjid tersebut atas permintaan
ramai. Ahmad Al-Banna menerima tugas tersebut kerana mencari keredhaan Allah
dan bukan kerana inginkan keuntungan kebendaan.. Dia meneruskan kerjanya
sebagai tukang membaiki jam untuk menyara hidupnya dan masa lapangnya digunakan
dalam mengkaji hadis. Ahmad bin Abdur Rahman Al-Banna menyusun banyak buku
mengenai hadis. Beliau menyusun semula Musnad Ahmad bin Hanbal menurut bab-bab
di segi ilmu Fiqh. Kitab ini dinamakannya ‘Al-Fathur-Rabbani Fi Tartib
Musnad-ul Imam Ahmad bin Asy-Syebani’. Kemudian beliau menulis pula huraian
terperinci mengenai kitab tersebut dan menamakannya ‘Bulugh-ul-Amani Min
Asrarul Fath-ur-Rabbani’. Beliau juga menulis huraian mengenai kitab Abu Dawud
dan menamakannya ‘Minhatul Mabud’. Di samping itu, beliau telah menyunting
Musnad dan Sunnan Imam Syafi’e dan menulis huraian mengenainya. Karyanya
dinamakannya ‘Badayi’-al Musnad Fi Jama Wa Tartib Musnad-as-Syafi’e wal Sunnan’.
Akhirnya beliau menyusun sebuah buku yang menyentuh Masanid keempat Imam tadi.
Ahmad Al-Banna adalah seorang ulama yang cerdik. Kajiannya terhadap Islam telah
menunjukkan kecekapannya itu. Beliau telah melakukan kerja akademik secara
bersendirian saja. Syeikh Ahmad bin Abdur-Rahman adalah seorang manusia alim
yang hebat. Dia wara’, berakhlak mulia dan bertaqwa. Isterinya juga berperibadi
mulia serta wara'. Isterinya berasal dari Bani Abu Qurah. Dengan isteri
pertamanya ini, Ahmad Al-Banna memperolehi tujuh orang anak iaitu lima lelaki
dan 2 perempuan. Anak-anaknya itu bernama Hasan Al-Banna (yang sulung),
Abdur-Rahman Al-Banna, Fatimah Al-Banna, Muhammad Al-Banna, Abdul Basit
Al-Banna, Jamal Al-Banna dan Fauziah Al-Banna. Syeikh Ahmad Al-Banna mempunyai
seorang lagi isteri. Dengan isteri kedua ini, dia memperolehi seorang anak
perempuan yang bernama Faridah Al-Banna.
Kelahiran dan Pendidikan Imam Hasan Al Banna.
Imam Hasan Al-Banna
adalah anak sulung di dalam keluarganya. Beliau dilahirkan di Mahmoodiah pada
bulan Oktober, 1906 M. Takdir Allah telah menentukan tarikh kelahirannya itu
supaya dapat mengisi kekosongan akibat kematian pemimpin Muslim Mesir yang
berwibawa dan tercinta iaitu Mustafa Kamal. Mahmoodiah bersuasana kedesaan dan
merupakan sebuah perkampungan petani. Para penduduknya menjalani kehidupan
corak lama (tradisional). Keluarga Imam Hasan Al-Banna sangat 'alim dalam ilmu
Islam dan Sejarah Islam. Keluarganya juga mengamalkan cara hidup Islam. Imam
Hasan Al-Banna mendapat pendidikan awal daripada bapanya sendiri. Dalam
usahanya menghafal Al-Quran, bapanya telah memberi banyak bantuan. Bapanya juga
memberi galakan kepadanya untuk mempelajari ilmu Islam. Tidak lama kemudian,
beliau dimasukkan ke sebuah sekolah bernama Madrasah Ar-Rasyad As-Diniyyah. Di
sekolah ini beliau berguru dengan seorang ulamak terpelajar yang bernama
Muhammad Zahran.
Apabila pengurusan
sekolah tersebut bertukar tangan dan pengasasnya iaitu Syeikh Muhammad Zahran
membuat kerja lain, maka Imam Hasan Al-Banna pun berpindah ke sekolah lain yang
bernama Madrasah A’adadiyah. Tahap pengajian sekolah ini adalah lebih tinggi
daripada sekolah rendah. Kerajaan Mesir menghapuskan sistem pengajian sekolah
A'adadiyah dan menyerahkannya kepada Kementerian Pelajaran. Kini cuma ada dua
pilihan saja bagi Hasan Al-Banna. Salah satu daripada pilihan itu ialah
memasuki Maahad-i-Dini; iaitu sebuah pusat.pengajian yang berhubung terus
dengan Universiti Al-Azhar. Langkah ini boleh menjadikannya salah seorang
ulamak Al-Azhar. Pilihan yang satu lagi ialah memasuki Pusat Latihan Guru
Damanhur untuk mendapat Ijazah Perguruan. Hasan Al-Banna memilih memasuki Pusat
Latihan Guru Damanhur. Selepas itu tiga tahun berkursus di situ, beliau
mendapat pangkat pertama di dalam peperiksaan. Selesai sahaja kursus perguruan
tersebut, beliau telah ditawarkan jawatan guru oleh Pejabat Pelajaran Daerah
tetapi beliau memilih untuk menyambung pengajiannya ke peringkat yang lebih
tinggi iaitu ke Universiti Kaherah (Darul Ulum). Ketika itu beliau berusia 16
tahun. Mengikut peraturan, beliau tidak layak memasuki Universiti itu (yakni
tidak layak dari segi umur) tetapi peraturan itu dilonggarkan kerana bakat dan
keilmuannya yang luar biasa itu. Waktu itu, Darul Ulum terkenal dengan gelaran
'Al-Azhar kecil'. Di sini kursus di beri dengan cara atau kaedah moden.
Diantara kursus-kursus yang disediakan ialah Perguruan, Saikologi, Falsafah,
Politik,Ilmu Kemasyarakatan, Matematik dan Ilmu Bahasa. Sebaik sahaja diterima
masuk, Imam Hasan Al-Banna dan keluarganya pun berpindah ke Kaherah. Pada bulan
Julai, 1927 M., Imam Hasan Al-Banna lulus peperiksaan diplomanya dari Darul
Ulum (kini terkenal dengan Universiti Kaherah) dengan mendapat pangkat pertama.
Hasan Al-Banna membahagikan masanya itu ditumpukan kepada pengajiannya dan sebahagian
lagi dihabiskan untuk dakwah Islamiah dan membantu bapanya membaiki jam.
Setelah beliau menamatkan pengajiannya, beliau terpaksa pula membuat pilihan
sama ada beliau patut mengambil biasiswa luar negeri dan meneruskan
pengajiannya ke peringkat yang lebih tinggi ataupun bekerja dengan Jabatan
Pelajaran sebagai seorang guru. Jika beliau bekerja dengan Jabatan Pelajaran,
beliau akan mengajar kanak-kanak pada siang hari dan masa lapangnya pula akan
dihabiskan untuk.mengajar ibu bapa mereka. Kemudian, Darul Ulum mengumumkan
bahawa Biasiswa luar negeri tidak akan ditawarkan kepada mana-mana pelajar
kerana negara Mesir sedang mengalami kekurangan guru waktu itu. Selepas
pengumuman tersebut, beliau tidak ada pilihan lain kecuali menjadi guru.
Apabila beliau mula bertugas sebagai guru di sekolah kerajaan, umurnya baru
menjangkau dua puluh satu tahun. Beliau tinggal di Ismailiah sehingga tahun
1933 M.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan