Mati adalah bercerai roh dari badan,
tetapi ianya bukanlah satu babak yang penyudah dalam arena kehidupan di dunia,
malah ianya sebagai suatu proses sementara bagi menempuh kehidupan yang kekal
abadi yang bermula dari alam kubur. Setiap makhluk ini tidak terlepas dari
mati.
Maksud Firman Allah s.w.t :
“Setiap yang bernyawa akan merasai
mati dan sesungguhnya pahala kamu akan dibalas pada hari Khiamat.”
( Surah Ali Imran ayat 185 )
Kematian akan mengejar ke mana saja
kita berada, ia akan tiba pada bila-bila masa tanpa diundang dan tanpa menerima
tempoh.
Maksud Firman Allah s.w.t:
“Apabila sampai ajal maut seseorang
itu ia tidak dapat ditunda atau dipercepat, walau sesaat pun.”
(Surah al-A’raf ayat 34); (Surah
an-Nahl ayat 61)
Sesungguhnya kematian itu tidak pernah
diundang atau dijemput, ia tidak pernah berkompromi, tidak memilih martabat
atau dalam keadaan sedar atau berkhayal, dalam taqwa atau maksiat. Kematian itu
pasti mencari di mana saja roh berada.
Maksud Firman Allah s.w.t:
“Di mana saja kamu berada, kematian
itu akan mendapatkan kamu sekalipun kamu berada dalam kubu yang kukuh.”
(Surah an-Nisaa’ ayat 78)
• Hukum
Mengingati Mati
Walau bagaimanapun keadaan yang
bergolak dalam pemikiran manusia. Namun Islam menganjur umatnya (sunat) supaya
mengingati mati. Samada cara termenung menggambarkan saat-saat kematian itu
ditempuhi, menziarahi orang sakit, menziarahi kubur, menghantar jenazah ke
kubur dan sebagainya.
Mengingati mati adalah berbeza
hukumnya dengan bercita-cita hendak mati, kerana bercita-cita hendak mati yang
nekad dengan putus asa, tidak sabar atas penderitaan adalah bukan sifat seorang
Islam mukmin dan ditegah oleh syarak ( haram ) kerana nekad sedemikian
kadangkala boleh membawa pembunuhan diri.
Adapun memohon dipendekkan umur
dengan sebab kezaliman yang berlaku dan tidak ada jalan bagi menghindarinya
adalah diharus dengan secara bersandar, seperti kata doanya, bermaksud : “Ya
Allah hidupkanlah aku sekiranya kehidupan itu memberi kebaikan kepadaku dan
matikanlah aku sekiranya kematian itu menjadi kebaikan kepadaku”.
Untuk Renungan
Siapa yang memasuki kubur dengan
tidak membawa bekalan samalah seperti orang yang belayar di lautan dengan tidak
berperahu!
(Sayidina Abu Bakar As Siddiq)
wallahu a'lam
Tiada ulasan:
Catat Ulasan